Daisypath Anniversary tickers

02 April 2010

Din Beramboi meninggal dunia

salam sukadukakami


*sumber dari harian Metro

KUALA LUMPUR: Selepas empat hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang (HS) kerana dijangkiti demam denggi berdarah, pelawak dan penyampai radio Era FM, Din Beramboi (gambar) disahkan meninggal dunia, tengah malam tadi.

Adik iparnya, Shariffudin Che Man, 37, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan tiga anaknya, Nil Aina Adibah, 17, Mior Syafiq, 12, dan Nir Ain, di hospital itu, kira-kira jam 12.30 tengah malam.


Turut berada di sisi Allahyarham ialah anggota keluarga terdekat dan tiga rakan artis, Azwan Ali, Zul Yahya dan Ifa Raziah.

Shariffudin berkata, jenazah Allahyarham dijadual dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Ehsan, Kepong sebelum solat Jumaat hari ini.


Allahyarham atau nama sebenarnya, Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 43, mengadu demam dan mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran kediamannya di Rawang yang kemudian dirujuk ke Hospital Selayang.


Din Beramboi dikatakan mula demam sejak 23 Mac minggu lalu dan semakin kritikal sehingga tidak boleh bangun tetapi disebabkan tidak suka berjumpa doktor, pelawak itu hanya mendapatkan khidmat urut membuang angin.

Arwah hanya dibawa ke Hospital Selayang selepas keadaannya semakin kritikal Isnin lalu sebelum dimasukkan ke ICU.


Selain menjadi penyampai radio, Allahyarham juga pernah bergiat dalam bidang nyanyian, kartunis, pelakon dan pernah menjadi juri dalam rancangan program realiti Raja Lawak, baru-baru ini.

Allahyarham tercalon dalam top 5, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 2009) buat pertama kali yang akan diadakan Ahad ini bagi kategori penyampai radio lelaki popular, Harian Metro kelmarin melaporkan Pengarah HS, Dr Siti Zaleha Mohd Salleh, berkata Din Beramboi dibawa ke Jabatan Kecemasan Isnin lalu pada jam 3.27 petang dan dimasukkan ke ICU kerana menghidap denggi berdarah.


“Dia mengalami pendarahan dalaman dengan komplikasi kegagalan beberapa organ utama dan keadaannya sangat tenat serta kritikal,” katanya.


Sementara itu, isteri pelawak itu, Suhaini Che Man, dilaporkan berkata suaminya sempat berpesan untuk meluangkan lebih masa dengan keluarga selepas selesai ABPBH 2009.

Menurutnya, Din Beramboi memberitahunya, dia mendapat cuti 10 hari selepas ABPBH yang berlangsung pada 4 April ini.


“Dia berkata mahu meluangkan lebih masa bersama anak-anak dengan membawa mereka ke Genting Highlands,” katanya.

* Takziah dan Al-Fatihah